Hadith Qudsi

Hadith Abu Hurairah r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: "Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda." - Hadith Qudsi -

Wednesday 4 June 2014

TRIVIA: Travelogku di Kem PLKN Nasuha, Pagoh, Muar

Assalamualaikum.

Akhirnya trevelogku di Kem PLKN Nasuha Pagoh Muar akan melabuhkan tirainya. Di sini aku nak bagi sedikit maklumat yang mungkin berguna kepada anda yang bakal menjadi pelatih tu.
1. Makanan! Makanan sangat sangat penting. Jangan lupa bawa stock makanan anda sendiri. Bawa sebanyak yang boleh kerana anda pasti akan sangat lapar dekat sana. Kenapa? Kerana dekat sana anda akan sangat letih.
2. Aku nasihatkan anda bawalah termos. Kenapa? Manalah tahu anda nak minum air panas atau makan maggi dalam bilik so anda boleh guna termos tu untuk ambil air panas dekat DM.
3. Bagi mereka yang malas nak basuh baju PLKN (PT, KELAS, LORENG) tu jangan risau. Dobi disediakan. Tapi baju sendirian berhad anda tu, sendirian berhad la anda basuh sendiri ye.
4. Bawa hanger dan sepit baju sebanyak banyaknya!
5. Bawalah cawan plastik atau bekas minuman tupperwear incase nak minum dalam bilik.
6. Pastikan dorm sentiasa rapi dan kemas kalau tak nak kena TSUNAMI.

Waktu makan:
7:30 - sarapan pagi
10.30 - minum pagi
12.30 - makan tengah hari
4.30 - minum petang
6.30 - makan malam
10.30 - minum malam

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan di sini. Akhir kalam, jom kita tengok gelagat aku dan rakan sepanjang di Kem PLKN Nasuha Pagoh Muar.
  
Bendera Kompeni BRAVO Kumpulan 2 Siri 11/2014
Aku dan dorm mate LEE WAN JUAN
Aku dan LAU

We're Kpopers! LIM, HAZA and ME

Aku dan dorm mate SHARON TAN XIN JIE

We're dorm mate! Dorm 20

Once again Dorm 20!

Aku dan Kak Long (KINI)

Aku dan LIM

EPISOD KETIGA: Travelogku di Kem PLKN Nasuha Pagoh, Muar


Assalamualaikum.


Akhirnya entri travelog aku sudah hampir ke penghujungnya. Alhamdulillah ya Allah. Aku akan teruskan entri ini bermula pada tarikh 2105201. Pada tarikh ini bermulalah pengasingan aktiviti antara wira dan wirawati. Hari ini, wira akan menjalani latihan air atau Renang di University College of Tunku Abdul Rahman, Segamat, Johor. Sementara wirawati pula telah ditinggalkan di kem. Kebetulan tarikh wira menjalani latihan renang jatuh pada hari rabu, jadi wirawati yang tinggal di kem terpaksa ikut jadual kem iaitu memakai pakaian half loreng. Sangat tidak adil kerana kita ni dah la di tinggalkan di kem dan ditambah lagi kena pakai baju half loreng. Haihh. Sebaik sahaja semua bas PLKN yang membawa wira wira negara tu pergi, bermula aktiviti untuk wirawati. Pada hari ini, wirawati akan bertanding permainan kreativiti antara kompeni. Permainan kreativiti yang dipertandingkan ialah A Frame dan Sea Resque.

Pertandingan dimulakan dengan persaingan antara wirawati Alpha menentang wirawati Charlie. Hasilnya? Wirawati Alpa memenangi pertandingan ini kerana kepantasan dan kurang penalty dikenakan. Pertandingan disambung dengan persaingan antara wirawati Bravo dan wirawati Delta. Hasilnya? Wirawati Bravo menang melalui kepantasan dan tanpa penalti. Keputusan keseluruhan wirawati Bravo memenangi pertandingan A Frame dengan catatan masa 5 minit 05 saat dan tanpa penalti. Selesai sahaja A Frame dipertandingkan, kini tiba masa untuk Sea Resque pula. Alatan latihan dan pertandingan sangat berbeza menyebabkan kami di sini pecah otak nak fikir macam mana nak selamatkan air azimat tu. Apa yang berbeza? Masa latihan kami diberi 2 ponco tetapi semasa pertandingan kami hanya diberi 1 ponco, 1 board kuning besar dan ½ board kuning. Memang menguji minda, kerjasama dan persefahaman. Masa ni tak kira dah kaum apa, semua saling peluk memeluk.

Pada pandangan atau penilaian saya, walaupun ada 4kompeni tapi bila pertandingan dijalankan atau terdapat sebarang aktiviti berlangsung, 4 kompeni jadi 2 kompeni. Kenapa? Kerana Alpha dan Bravo secara automatic akan bergabung sementara Charlie akan bersatu dengan Delta. Ramai yang kata lawan Alpha Cuma Bravo dan lawan Bravo Cuma Alpha. Begitu juga untuk kedudukan 1 dan 2. Kalau tidak Alpha nombor 1, pastinya Bravo. Mungkin ini terjadi disebabkan kedudukan kompeni. Tapi walau apa pun, bak kata PLKN “SATU HASRAT SATU SEMANGAT SATU TEKAD”, kita berada di PLKN kerana kita adalah insan terpilih jadi bersatu itu lebih baik.

Seterusnya pada 27052014 merupakan hari keramat kerana pada hari ini, Kem PLKN Nasuha Pagoh telah mengadakan hari mengundi untuk memilih YB Kem PLKN Nasuha. Aktiviti mengundi ini hanyalah simulasi dan pendedahan kepada pelatih situasi sebenar ketika mengundi dan apa yang kita perlu tahu mengenai mengundi serta apa kesannya kepada Malaysia. Sebelum hari pengundian bermula, pelatih telah diasingkan mengikut tugas. Terdapat beberapa tugas khas seperti SPR, POLIS, MEDIA, Pengundi berwatak dll. Aku dipilih menjadi SPR dan memikul tanggungjawab sebagai Penyelia Tempat Mengundi. Aku dapat rasa pengalaman undi awal, menyelia kawasan mengundi dan melihat gelagat pengundi iaitu pelatih lain. Memang awalnya terasa gementar tapi bila dah laksanakan tanggungjawab tu rasa lega sangat. Kerusi yang dipertandingkan adalah P100 Parlimen Nasuha, N10 Dun Rempah dan N11 Dun Ratus. Parti yang bertanding pula adalah Parti Kunci dan Parti Traktor. Hasil keputusan undian memihak kepada Parti Traktor 100%. Suasana sangat gamat dan pelatih membuatkan simulasi mengundi ini nampak real. Aku sangat gembira dan terhibur dengan gelagat mereka.

30052014 sehingga 02062014 adalah tarikh yang paling ditunggu tunggu oleh semua pelatih kerana apa? Kerana pada tarikh ini semua pelatih akan balik cuti semester. Tapi aku balik atas pelepasan awal. Hehehe. Antara aktiviti yang akan dijalankan sebaik sahaja habis cuti semester antaranya menembak, kembara halangan, wirajaya dan kawad kaki. Tambahan, pada 13052014 bermulanya kelas baharu dengan modul kenegaraan. Kelas ini dinamakan KN. Pada hari pertama kelas, pelatih akan diberi tugasan dalam kumpulan besar dan tugasan ini dinamakan permainan perisai zaman. Selepas itu pelatih akan masuk ke kelas KN masing masing dan memulakan kelas dengan mencipta negara impian. Kelas ini berdasarkan 4 elemen iaitu DKRT (Daulat, Kerajaan, Rakyat dan Tanah). Selepas beberapa hari kelas dijalankan, akan berlaku rusuhan. Rusuhan ini bermaksud akan datang penceroboh negara yang akan merosakkan negara impian anda. Pada hari terakhir kelas pula anda akan bermain permainan DKRT.

Konklusinya walaupun aku hanya berpengalaman di PLKN selama 2bulan 25hari tapi aku banyak belajar tentang bagaimana nak ‘survive’ bila dekat luar, bagaimana nak kenal diri kita sendiri, bagaimana nak letak kepercayaan kepada diri dan orang lain serta di sini jugalah kekuatan mental dan fizikal aku dibentuk. Awalnya memang aku rasakan PLKN ni membuang masa tapi apabila kita dah masuk, kita akan ada 2 perasaan iaitu aku tak tahan dengan latihan style Sparta ni dan aku pasti akan rindukan kem ni bila aku tamat latihan nanti. Pada pendapat aku, kem ini sewajarnya diteruskan dan kalau boleh pihak berwajib menarik lebih ramai bakal bakal wira negara di luar sana yang tiada pekerjaan lain selain melepak dan membuang masa. Kerana apa? Di sini mereka akan sedar yang segala tindakan mereka selama ini salah dan insyaAllah mereka akan berubah apabila keluar daripada kem.

Last word… BRAVO! BRAVO! BRAVO~!! DEABAK! DEABAK! DEABAK~~!!!!!
SATU HASRAT SATU SEMANGAT SATU TEKAD! GO PLKN GO!




Tuesday 3 June 2014

EPISOD KEDUA: Travelogku di Kem PLKN Nasuha Pagoh



Assalamualaikum.

Janji mesti ditepati! Hehe seperti yang dijanjikan, ini dia EPISOD KEDUA: Travelogku di Kem PLKN Nasuha Pagoh. Untuk episode travelog kali ni aku akan berkongsi mengenai aktiviti lain yang dijalankan di kem PLKN. Selepas habis minggu orientasi, pelatih akan mulakan hari hari indah anda dengan bangun pada jam 5 pagi untuk mandi dan bersiap seterusnya solat di surau. Usai solat, semua pelatih akan berbaris di DK untuk melapor. Lapor pada waktu ni as usual la kena nyanyi lagu Negaraku dan lagu Wira Wirawati Negara, seterusnya bacaan ikrar, bacaan doa dan penghulu akan beri laporan kepada JL yang bertugas. Laporan yang penghulu bagi adalah berdasarkan laporan daripada ketua wira dan ketua wirawati. Untuk makluman, penaik bendera, pembaca ikrar dan doa akan bertukar mengikut kompeni dan tiada yang terkecuali termasuk wirawati. Di kem PLKN Nasuha rutin tersebut mengikut kaum. Jika minggu pertama wira melayu/muslim jadi minggu berikutnya kaum lain (cina,india atau lain lain bangsa) dan begitu juga kepada wirawati kecuali pembaca doa (khas untuk wira sahaja).

Setelah aktiviti melapor selesai, tiba masa untuk PT pagi dengan berpakaian PT. PT (Physical Training) akan dikendalikan JL kompeni masing masing. Tepat jam 7.30 pagi, semua pelatih akan beredar ke DM untuk sarapan pagi. Selesai sarapan, pelatih akan tukar pakaian kepada baju kelas kerana pelatih akan masuk kelas tepat jam 9 pagi. Pada jam 10.30 pagi, pelatih akan rehat untuk minum pagi. Selesai sahaja minum pagi, pelatih akan masuk kelas semula dan kelas hanya akan berhenti tepat jam 12.30. setelah itu, pelatih akan berbaris dan akan digerakkan ke surau bagi muslim dan DM bagi non muslim. Bagi muslim usai solat zuhur akan bergerak ke DM untuk makan tengah hari. Selesai sahaja makan tengah hari, pelatih akan tukar pakaian kepada pakaian PT atau half loreng atau full loreng mengikut aktiviti yang akan dijalankan tepat pada jam 2.30 petang. Aktiviti yang akan dijalankan akan bermula pada jam 2.30 sehingga 4.30. 4.30 petang adalah waktu untuk minum petang pelatih dan seterusnya pelatih muslim akan bergerak ke surau untuk solat asar. Bagi yang non muslim akan masuk dorm untuk buat pentadbiran bilik. Jika ada pelatih yang terlibat dengan GHS (Gaya Hidup Sihat) mereka akan turun semula pada jam 5.30 ditempat yang ditetapkan JL.

Pada jam 6.30 petang semua pelatih akan turun DM untuk makan malam. Bagi muslim setelah selesai makan akan terus ke surau untuk tunaikan solat maghrib, kelas kerohanian dan solat isyak. Pada hari rabu dan khamis, semua pelatih akan pakai baju kelas waktu malam kerana non muslim ada kelas kerohanian. Selesai sahaja aktiviti di surau atau kelas kerohanian, pelatih akan dikumpulkan di DM untuk minum malam pada jam 10.30 dan taklimat hari esok oleh JL yang bertugas.

Kem PLKN Nasuha telah mewajibkan semua pelatih menghafal kesemua lagu gerak kreatif. Kami ada 6 lagu keseluruhannya tidak termasuk lagu Wira Wirawati Negara. Antara lagunya ialah Ukays-Bila diri disayangi, 1M4U, 1Malaysia, Warisan-Sudirman dan Saya Anak Malaysia. Aku paling suka dan paling hafal koreografi lagu 1 Malaysia. Jika dibuat beramai ramai terasa semangat patriotiknya. Kami di sini juga perlu mengikuti latihan senam seni selama 27minit++ pada waktu PT pagi. Senam seni ini adalah senaman gabungan semua jenis tarian di Malaysia. Sangat seronok. Nampak mudah tapi bila buat terasa payah dan sungguh memenatkan.

Aku tak ingat pada minggu keberapa tapi aku ada mengikuti satu program khidmat komuniti yang dianjurkan kem PLKN Nasuha. Program khidmat komuniti kali ini adalah program paling banyak penglibatan pihak luar yang berkaitan kesihatan dan keselamatan. Sewaktu dalam perjalanan, kami diiringi polis trafik dan kesemuanya ada 12 bas. Program Khidmat komuniti ini dijalankan di Dataran Tanjong Mas, Muar. Turut terlibat sama peserta atau bekas pelatih dibawah BSKN. Program khidmat komuniti kali kedua akan dijalankan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Pelatih akan dibawa melawat muzium tentera laut. Malangnya program ini akan dijalankan selepas cuti sem dan aku tak dapat nak ikut serta.

Pada 10052014 Kem PLKN dengan kerjasama Hospital Muar telah menjalankan Program Derma Darah. Ramai pelatih yang melibatkan diri dalam program ini namun tidak aku. Terus terang aku katakan aku memang takut darah dan suntikan. Apatah lagi ummi aku sendiri tidak benarkan aku menderma darah kerana tidak mahu aku letih. Seterusnya pada 15052014 merupakan hari yang paling ditunggu tunggu oleh wira dan wirawati kem PLKN Nasuha Pagoh. Kenapa? Inilah masanya untuk kami buat aktiviti elemen tali tinggi. Untuk wira, aktiviti dijalankan pada 14052014. Elemen tali tinggi ini ada 2 iaitu repelling dan flying fox. Mengikut maklumat yang diberi oleh KJ, hanya 11 kem PLKN daripada 86 kem ada tempat untuk buat elemen tali tinggi dan antaranya adalah KEM PLKN NASUHA. Untuk makluman juga, kem ini merupakan kem ke-8 terbaik daripada 86 kem di Malaysia.

Aktiviti repelling sangat mencabar. Ye walaupun kita hanya perlu turun dari menara tingkat 4 menggunakan tali namun apabila berada di atas menara, hormone adrenaline kita secara automatic akan terangsang dan boleh menyebabkan kita ketakutan. Manakala aktiviti flying fox di sini sangat best kerana kita merentasi 2 tasik dan dihidangkan pemandangan hutan yang sangat menenangkan. Selesai sahaja aktiviti elemen tali tinggi,pelatih akan dibawa melawat tapak perkhemahan wirajaya dan diajarkan cara pemasangan khemah yang betul.

Suasana di Kem PLKN Nasuha sangat seronok, menenangkan dan terbaik kerana kem ini terletak di Ladang Rempah Ratus milik Haji Nasuha yang berkeluasan 4000++++ hektar. Kem yang penuh berbukit dan satu satunya kem di mana padang bola terletak di puncak bukit paling tinggi. Terbaikkan? Hahaha. Selesai sudah kisah traveloku pada kali ini. Travelog akan disambung pada EPISOD KETIGA dan TRIVIA.








Monday 2 June 2014

EPISOD PERTAMA: Travelogku di Kem PLKN Nasuha Pagoh, Muar



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, setelah hampir 2 bulan aku berada di Kem PLKN Nasuha Pagoh, kini aku kembali ke bumi Tenggara! Aku merupakan bekas pelatih Kumpulan 2 Siri 11/2014 Nasuha Pagoh, WWB 629 bekas ahli kumpulan BRAVO, bekas penginap Dorm 20, bekas pelajar kelas CB6 dan KN5 serta bekas ahli kumpulan kecil Keris Sakti, Embracing Family dan Anak Malaysia. Woahhh banyak betul bekasnya. Hehe. Aku disahkan tamat latihan PLKN pada 30MEI2014 (Pelepasan  Awal). Hari ni dah 2 June 2014, kiranya dah 4 hari aku berada di rumah dan dah cukup rehat sangat sangat. So, aku bercadang nak kongsi serba sedikit pengalaman dan informasi mengenai PLKN terutama PLKN Nasuha Pagoh pada umum. Kalau ada yang berguna tu silakan diambil dan kalau ada kesilapan atau agak membosankan harap dimaafkan.

05042014 hari bersejarah dalam hidupku kerana pada tarikh ini lah bermulanya kehidupan aku sebagai pelatih PLKN. Setelah mendaftar di tempat yang ditetapkan, aku dan rakan bakal pelatih yang lain menaiki bas PLKN yang disediakan untuk dihantar ke kem PLKN yang telah ditentukan. Memandangkan aku antara kumpulan atau batch pertama kumpulan 2 dan bas pertama yang sampai jadinya keadaan di dalam Dewan Kuliah (DK) sangat sepi kerana hanya kami yang ada. Setelah sampai kita dikehendaki mendaftar atau melapor diri semula. Ketika ini lah kita akan diasingkan mengikut kompeni. Ada 4 kompeni keseluruhannya iaitu Alpha, Bravo, Charlie dan Delta. Selepas itu, kita akan buat timbangan berat badan, ukur ketinggian dan pengesahan sama ada kita ada alergik atau kita ni vegetarian. Sudah selesai semua tu, kita akan mendaftar untuk di tentukan dorm dan katil. Selepas tu barulah kita akan buat penyerahan phone. Selesai sudah mendaftar, tiba masa untuk makan tengah hari, solat dan masuk dorm. Masa turun untuk pergi Dewan Makan (DM), semua beg akan dibawa sekali dan di hadapan pejabat akan ada pihak kastam buat pemeriksaan barang. Peringatan di sini, jangan sesekali bawa barang yang tajam walaupun gunting, ubat sapu dibenarkan tapi ubat yang perlu telan akan dirampas, bantal peluk/selimut ada yang kena rampas dan ada yang dilepaskan (ikut budi bicara Jurulatih yang bertugas).

Aku dan rakan ( Ziana ) kebetulan kumpulan Bravo dan jurulatih yang bertugas kata dorm Bravo atas lagi. Sementara Huda dapat Charlie dan dorm dia betul betul sebelah pejabat. So, dengan berat hati aku dan Ziana bergerak ke atas. Mengapa ke atas? Untuk makluman Kem PLKN Nasuha ni tempat dia semua berbukit. Memang sangat jauh. Sebelum sampai ke dorm kami kena amik cadar, sarung bantal dan selimut di pusat operator. Lepas tu kami tanya orang operator, dorm Bravo dekat mana? Orang tu kata, Nampak tak papan tanda DM depan tu? Kami jawablah, ye kami nampak. Kemudian dia kata, nampak tak bukit 45 darjah sebelahnya? Sekali lagi kami jawab, ye kami  nampak. Dan orang operator tu kata, haa kamu berdua naik bukit tu lepas tu belok kiri, dekat situlah dorm Bravo dan belakangnya dorm Alpha. Automatik kami berdua terduduk. Fuhh! Jauh betul. Dengan luggage, beg sandang, baldi dan barang dorm ni, kami perlu naik lagi bukit? Mengeluh habis kami masa tu. Lepas jumpa dorm, aku terpaksa kemaskan dorm seorang diri sebab aku penghuni pertama dan setelah 3jam berlalu barulah penghuni kedua masuk. Penghuni kedua yang bertuah tu tak lain dan tak bukan Lee Wan Juan! Haha aku masih ingat lagi gelagat dia masa first time dia masuk. So cute and adorable!  Hampir ke petang barulah penghuni ketiga masuk dan dia ialah Ika.
Untuk makluman ada 3 kali kemasukan pelatih iaitu pada 0504, 0604 dan 0704. Mereka yang datang dari Kulai dan Kluang lapor diri pada 0504. Manakala mereka yang datang daripada Johor Bahru pada 0604 dan 0704 adalah untuk mereka yang datang dari Yong Peng dan Melaka. Pemakaian di sini sangat ketat kerana hanya pakaian yang diisukan oleh PLKN sahaja yang dibenarkan pakai kecuali pakaian untuk tidur. Sesi orientasi dijalankan selama satu minggu. Minggu yang sangat memenatkan pada aku.

*Kebiasaanya kem PLKN lain satu dorm boleh memuatkan antara 20-50 orang. Tapi di Kem PLKN Nasuha, satu dorm boleh memuatkan hanya 10 orang kerana dorm di sini mengikut style chalet.

Selepas melepasi masa kritikal iaitu orientasi, tibalah masa untuk pelatih masuk ke kelas yang telah ditetapkan. Keseluruhannya ada 6 kelas. Kelas ini dijalankan berdasarkan video dan kelas ini dipanggil kelas CB (character building). Kelas CB ada 4 submodul dan setiap modul akan kurang sehari bermula daripada 6 hari ke 3 hari. Selain daripada kelas, setiap kompeni iaitu kompeni Alpha, Bravo, Charlie dan Delta akan diberikan tugasan untuk membuat Pembinaan Kumpulan. Ketika ini, setiap kompeni akan mencabut undi bagi tema untuk kompeni masing masing. Kompeni Alpha (Pepatung), Bravo (Kumbang), Charlie (Rama-rama) dan Delta (Belalang). Semasa Pembinaan pasukan inilah kita akan mencipta bendera. Bendera adalah maruah kompeni. Selama 2 bulan lebih aku berada di PLKN, semua benda kompeni lain telah dirampas KECUALI bendera kompeni aku BRAVO. Bagi kompeni yang bendera di rampas, pelatih kompeni terpaksa menjalani hukuman yang disediakan Jurulatih untuk dapatkan semula bendera kompeni. Jadi pengajarannya di sini, jagalah barang atau hak kita sebaiknya ye.

Semasa tempoh orientasi, pelatih akan menjalani latihan kawad dari jam 2.30 hingga 4.30. Latihan kawad tidak berakhir apabila sesi orientasi tamat. Bak kata JL Adnan, prinsip PLKN di sini, nampak langit lenggang. Maksudnya apabila kita berbumbungkan langit, nak tak nak kita kena berjalan atau berlari dalam keadaan kawad. Kalau tidak, bersiap sedia untuk kena pumping style tentera. Aktiviti lain yang akan dijalankan pada waktu petang iaitu antara jam 2.30 hingga 4.30 selaian daripada latihan kawad adalah TTS (Tempur Tanpa Senjata), PC (Pertolongan Cemas), Latihan/Teori Kembara Halangan, Teori Air dan Permainan Kreativiti. Permainan Kreativiti ada 2 iaitu A Frame dan Sea Resque. Permainan Kreativiti, Teori/Latihan Air (Renang), Kembara Halangan, Wirajaya, kawad kaki dan gerak kreatif merupakan antara aktiviti yang akan dipertandingkan. Ohh terlupa, Pembinaan pasukan juga antara yang dipertandingkan. Hasilnya, Alpha menjuarai dengan markah 87% dan diikuti Bravo 86%, Charlie 84% serta Delta 70%.

Alhamdulillah selesai sudah Episod Pertama: Travelogku di Kem PLKN Nasuha Pagoh. Episod Kedua akan menyusul kemudian.





Thursday 3 April 2014

Kerjaya Guru Pilihan Terakhir?



Assalamualaikum.

Mengapa saya katakan kerjaya guru pilihan terakhir? Jika kita teliti fenomena dunia belia sekarang, tidak ramai belia yang mahu menceburkan diri dalam kerjaya pendidikan. Kenapa? Pada pendapat peribadi saya, guru sememangnya satu kerjaya yang mulia kerana tugas guru bukan sahaja mengajar dan membimbing  pelajar, malah guru bertanggungjawab untuk mendidik pelajar menjadi modal insan yang cemerlang dan berguna kepada umat manusia sejagat. Tanggungjawab inilah yang membuatkan sebilangan besar belia tidak sanggup memikulnya. Mendidik seseorang pelajar itu bukan perkara mudah. Tenaga, fokus, kreativiti dan ikhlas adalah elemen utama untuk mendidik darah muda ini.

Terus terang saya katakan, saya tidak berminat untuk menjadi guru. Kenapa? Kerana saya tahu di mana kemampuan saya. Saya bukanlah seorang yang boleh mendidik ATAU membimbing ATAU mengajar orang lain. Seseorang guru perlu ada sifat sabar yang tinggi. Saya bukanlah seorang perengus apatah lagi pemarah tetapi saya tahu saya cepat melenting dan saya kurang sabar. Bagaimana mahu melahirkan modal insan yang cemerlang akedemik, kokurikulum dah sahsiah jika gurunya tidak mampu melakukan perkara yang sama?
Selain itu, kebanyakan belia tidak mahu menceburi bidang pendidikan kerana tahap kelayakan yang tinggi diperlukan. Ya memang betul, untuk menjadi guru, seseorang itu perlu ada tahap IQ yang tinggi. Kenapa? Anak murid belajar daripada guru. Jika guru tidak mempunyai pencapaian yang membanggakan, bagaimana tanggapan pelajar terhadap guru tersebut? Tetapi, sayangnya dewasa ini, gaji seorang guru amat rendah. Pada pendapat saya, keadaan ini sangat tidak adil. Kita mahu guru yang berpendidikan tinggi, guru yang cemerlang tetapi kenapa mereka tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka?

Terdapat perbezaan besar antara mereka yang cemerlang memilih menjadi pendidik dan mereka yang cemerlang memilih untuk menjadi seorang doktor, peguam, akauntan, pensyarah, saintis dan sebagainya. Perbezaan ini tidak lain dan tidak bukan pada gaji atau upah yang diterima. Ya akan ada sebilangan yang mengatakan, bukan gaji yang dikejar tetapi berkat dan nikmat kerja. Pada pendapat saya, berkat kerja boleh kita dapat dia mana mana kerjaya. Asalkan kita tawaduk, istiqamah dalam ibadah dan kita sentiasa mencari keredaanNYA, berkat kerja pasti ada buat kita.

Dunia sekarang sangat mementingkan duit atau wang. Tanpa kertas bernilai tersebut, kita tak dapat memiliki atau membuat apa sahaja. Kerana apa? Kerana dia mana mana sahaja, kos sara hidup sangat tinggi terutama mereka yang berkeluarga. Pada mereka yang masih bujang, gaji guru sangatlah memadai tetapi belia yang berpandangan jauh pasti akan memikirkan masa depan mereka. Saya bukan nak mengkritik jauh lagi memandang rendah kerjaya seorang guru kerana ummi saya sendiri pernah bergelar guru di Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru sebagai Guru Penolong Kanan selama hampir 20 tahun sebelum berpindah ke sekolah biasa. Saya amat kagum dengan kesungguhan beliau mendidik kanak-kanak istimewa tersebut. Saya hanya memberi pendapat kenapa kerjaya guru menjadi kerjaya pilihan terakhir generasi muda kala ini.

Lain orang lain pandangan. Saya percaya masih ramai generasi belia yang minat menjadi guru atau yang sedang menongkah arus untuk menjadi salah seorang pendidik yang berkaliber di Malaysia. Tahniah diucapkan kepada anda tetapi ingatlah, menjadi guru tidak mudah kerana tanggungjawab yang dipikul amatlah berat. Komitmen dan priority sebagai pendidik perlu diutamakan. Jangan ingat jadi guru mudah kerana tugasnya cuma mengajar, cukup bulan dapat gaji dan jadi guru ni mulia, semua orang kena hormat pada guru. Guru yang pentingkan diri sendiri, yang pilih kasih, yang sombong, yang mengambil remeh tugas mendidik dan yang hanya tahu dapat gaji akhir bulan lebih terdedah kepada murka Allah swt. Oleh itu, jadilah guru yang sebenarnya. Jangan hanya mencari populariti dan kesenangan di dunia. Akhirat matlamat kita. Insya-Allah.

Jika ada yang bertanya, mengapa kerjaya guru pilihan terakhir? Saya pasti anda sudah tahu bagaimana mahu menjawab dengan sopan dan berhemah. Namun begitu haruslah diingat, “Ada yang kamu tidak sukai sedangkan perkara itu baik untukmu, ada pula yang kamu sukai, tetapi ia sebenarnya buruk untukmu.” (Surah al-Baqarah 2:216). Waallahu ‘alam.