Hadith Qudsi

Hadith Abu Hurairah r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: "Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda." - Hadith Qudsi -

Thursday 3 April 2014

Kerjaya Guru Pilihan Terakhir?



Assalamualaikum.

Mengapa saya katakan kerjaya guru pilihan terakhir? Jika kita teliti fenomena dunia belia sekarang, tidak ramai belia yang mahu menceburkan diri dalam kerjaya pendidikan. Kenapa? Pada pendapat peribadi saya, guru sememangnya satu kerjaya yang mulia kerana tugas guru bukan sahaja mengajar dan membimbing  pelajar, malah guru bertanggungjawab untuk mendidik pelajar menjadi modal insan yang cemerlang dan berguna kepada umat manusia sejagat. Tanggungjawab inilah yang membuatkan sebilangan besar belia tidak sanggup memikulnya. Mendidik seseorang pelajar itu bukan perkara mudah. Tenaga, fokus, kreativiti dan ikhlas adalah elemen utama untuk mendidik darah muda ini.

Terus terang saya katakan, saya tidak berminat untuk menjadi guru. Kenapa? Kerana saya tahu di mana kemampuan saya. Saya bukanlah seorang yang boleh mendidik ATAU membimbing ATAU mengajar orang lain. Seseorang guru perlu ada sifat sabar yang tinggi. Saya bukanlah seorang perengus apatah lagi pemarah tetapi saya tahu saya cepat melenting dan saya kurang sabar. Bagaimana mahu melahirkan modal insan yang cemerlang akedemik, kokurikulum dah sahsiah jika gurunya tidak mampu melakukan perkara yang sama?
Selain itu, kebanyakan belia tidak mahu menceburi bidang pendidikan kerana tahap kelayakan yang tinggi diperlukan. Ya memang betul, untuk menjadi guru, seseorang itu perlu ada tahap IQ yang tinggi. Kenapa? Anak murid belajar daripada guru. Jika guru tidak mempunyai pencapaian yang membanggakan, bagaimana tanggapan pelajar terhadap guru tersebut? Tetapi, sayangnya dewasa ini, gaji seorang guru amat rendah. Pada pendapat saya, keadaan ini sangat tidak adil. Kita mahu guru yang berpendidikan tinggi, guru yang cemerlang tetapi kenapa mereka tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka?

Terdapat perbezaan besar antara mereka yang cemerlang memilih menjadi pendidik dan mereka yang cemerlang memilih untuk menjadi seorang doktor, peguam, akauntan, pensyarah, saintis dan sebagainya. Perbezaan ini tidak lain dan tidak bukan pada gaji atau upah yang diterima. Ya akan ada sebilangan yang mengatakan, bukan gaji yang dikejar tetapi berkat dan nikmat kerja. Pada pendapat saya, berkat kerja boleh kita dapat dia mana mana kerjaya. Asalkan kita tawaduk, istiqamah dalam ibadah dan kita sentiasa mencari keredaanNYA, berkat kerja pasti ada buat kita.

Dunia sekarang sangat mementingkan duit atau wang. Tanpa kertas bernilai tersebut, kita tak dapat memiliki atau membuat apa sahaja. Kerana apa? Kerana dia mana mana sahaja, kos sara hidup sangat tinggi terutama mereka yang berkeluarga. Pada mereka yang masih bujang, gaji guru sangatlah memadai tetapi belia yang berpandangan jauh pasti akan memikirkan masa depan mereka. Saya bukan nak mengkritik jauh lagi memandang rendah kerjaya seorang guru kerana ummi saya sendiri pernah bergelar guru di Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru sebagai Guru Penolong Kanan selama hampir 20 tahun sebelum berpindah ke sekolah biasa. Saya amat kagum dengan kesungguhan beliau mendidik kanak-kanak istimewa tersebut. Saya hanya memberi pendapat kenapa kerjaya guru menjadi kerjaya pilihan terakhir generasi muda kala ini.

Lain orang lain pandangan. Saya percaya masih ramai generasi belia yang minat menjadi guru atau yang sedang menongkah arus untuk menjadi salah seorang pendidik yang berkaliber di Malaysia. Tahniah diucapkan kepada anda tetapi ingatlah, menjadi guru tidak mudah kerana tanggungjawab yang dipikul amatlah berat. Komitmen dan priority sebagai pendidik perlu diutamakan. Jangan ingat jadi guru mudah kerana tugasnya cuma mengajar, cukup bulan dapat gaji dan jadi guru ni mulia, semua orang kena hormat pada guru. Guru yang pentingkan diri sendiri, yang pilih kasih, yang sombong, yang mengambil remeh tugas mendidik dan yang hanya tahu dapat gaji akhir bulan lebih terdedah kepada murka Allah swt. Oleh itu, jadilah guru yang sebenarnya. Jangan hanya mencari populariti dan kesenangan di dunia. Akhirat matlamat kita. Insya-Allah.

Jika ada yang bertanya, mengapa kerjaya guru pilihan terakhir? Saya pasti anda sudah tahu bagaimana mahu menjawab dengan sopan dan berhemah. Namun begitu haruslah diingat, “Ada yang kamu tidak sukai sedangkan perkara itu baik untukmu, ada pula yang kamu sukai, tetapi ia sebenarnya buruk untukmu.” (Surah al-Baqarah 2:216). Waallahu ‘alam.

No comments:

Post a Comment