Assalamualaikum.
Mengapa saya katakan kerjaya guru pilihan terakhir? Jika
kita teliti fenomena dunia belia sekarang, tidak ramai belia yang mahu
menceburkan diri dalam kerjaya pendidikan. Kenapa? Pada pendapat peribadi saya,
guru sememangnya satu kerjaya yang mulia kerana tugas guru bukan sahaja
mengajar dan membimbing pelajar, malah
guru bertanggungjawab untuk mendidik pelajar menjadi modal insan yang cemerlang
dan berguna kepada umat manusia sejagat. Tanggungjawab inilah yang membuatkan
sebilangan besar belia tidak sanggup memikulnya. Mendidik seseorang pelajar itu
bukan perkara mudah. Tenaga, fokus, kreativiti dan ikhlas adalah elemen utama
untuk mendidik darah muda ini.
Terus terang saya katakan, saya tidak berminat untuk menjadi
guru. Kenapa? Kerana saya tahu di mana kemampuan saya. Saya bukanlah seorang
yang boleh mendidik ATAU membimbing ATAU mengajar orang lain. Seseorang guru
perlu ada sifat sabar yang tinggi. Saya bukanlah seorang perengus apatah lagi
pemarah tetapi saya tahu saya cepat melenting dan saya kurang sabar. Bagaimana
mahu melahirkan modal insan yang cemerlang akedemik, kokurikulum dah sahsiah
jika gurunya tidak mampu melakukan perkara yang sama?
Selain itu, kebanyakan belia tidak mahu menceburi bidang pendidikan
kerana tahap kelayakan yang tinggi diperlukan. Ya memang betul, untuk menjadi
guru, seseorang itu perlu ada tahap IQ yang tinggi. Kenapa? Anak murid belajar
daripada guru. Jika guru tidak mempunyai pencapaian yang membanggakan,
bagaimana tanggapan pelajar terhadap guru tersebut? Tetapi, sayangnya dewasa
ini, gaji seorang guru amat rendah. Pada pendapat saya, keadaan ini sangat
tidak adil. Kita mahu guru yang berpendidikan tinggi, guru yang cemerlang
tetapi kenapa mereka tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka?
Terdapat perbezaan besar antara mereka yang cemerlang
memilih menjadi pendidik dan mereka yang cemerlang memilih untuk menjadi
seorang doktor, peguam, akauntan, pensyarah, saintis dan sebagainya. Perbezaan
ini tidak lain dan tidak bukan pada gaji atau upah yang diterima. Ya akan ada
sebilangan yang mengatakan, bukan gaji yang dikejar tetapi berkat dan nikmat
kerja. Pada pendapat saya, berkat kerja boleh kita dapat dia mana mana kerjaya.
Asalkan kita tawaduk, istiqamah dalam ibadah dan kita sentiasa mencari
keredaanNYA, berkat kerja pasti ada buat kita.
Dunia sekarang sangat mementingkan duit atau wang. Tanpa
kertas bernilai tersebut, kita tak dapat memiliki atau membuat apa sahaja.
Kerana apa? Kerana dia mana mana sahaja, kos sara hidup sangat tinggi terutama
mereka yang berkeluarga. Pada mereka yang masih bujang, gaji guru sangatlah
memadai tetapi belia yang berpandangan jauh pasti akan memikirkan masa depan
mereka. Saya bukan nak mengkritik jauh lagi memandang rendah kerjaya seorang
guru kerana ummi saya sendiri pernah bergelar guru di Sekolah Kanak-Kanak
Istimewa Johor Bahru sebagai Guru Penolong Kanan selama hampir 20 tahun sebelum
berpindah ke sekolah biasa. Saya amat kagum dengan kesungguhan beliau mendidik
kanak-kanak istimewa tersebut. Saya hanya memberi pendapat kenapa kerjaya guru
menjadi kerjaya pilihan terakhir generasi muda kala ini.
Lain orang lain pandangan. Saya percaya masih ramai generasi
belia yang minat menjadi guru atau yang sedang menongkah arus untuk menjadi
salah seorang pendidik yang berkaliber di Malaysia. Tahniah diucapkan kepada
anda tetapi ingatlah, menjadi guru tidak mudah kerana tanggungjawab yang
dipikul amatlah berat. Komitmen dan priority sebagai pendidik perlu diutamakan.
Jangan ingat jadi guru mudah kerana tugasnya cuma mengajar, cukup bulan dapat
gaji dan jadi guru ni mulia, semua orang kena hormat pada guru. Guru yang
pentingkan diri sendiri, yang pilih kasih, yang sombong, yang mengambil remeh
tugas mendidik dan yang hanya tahu dapat gaji akhir bulan lebih terdedah kepada
murka Allah swt. Oleh itu, jadilah guru yang sebenarnya. Jangan hanya mencari
populariti dan kesenangan di dunia. Akhirat matlamat kita. Insya-Allah.
Jika ada yang bertanya, mengapa kerjaya guru pilihan
terakhir? Saya pasti anda sudah tahu bagaimana mahu menjawab dengan sopan dan
berhemah. Namun begitu haruslah diingat, “Ada yang kamu tidak sukai sedangkan
perkara itu baik untukmu, ada pula yang kamu sukai, tetapi ia sebenarnya buruk
untukmu.” (Surah al-Baqarah 2:216). Waallahu ‘alam.