Hadith Qudsi

Hadith Abu Hurairah r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: "Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda." - Hadith Qudsi -

Saturday 1 February 2014

Putera dan Puteri Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum.

Muhammad bin Abdullah. Seorang Nabi, Rasul dan kekasih Allah swt. Perjuangan dan pengorbanan baginda untuk menegakkan dan memasyhurkan agama Islam di muka bumi Allah ini penuh onak berduri namun akhirnya baginda berjaya meluaskan pengaruh Islam melalui kesungguhan baginda yang tiada penghujungnya. Baginda Rasulullah saw mempunyai 7 orang cahaya mata yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 4 orang perempuan.

Jom kita kenal dengan lebih dekat serba sedikit mengenai putera dan puteri Rasulullah saw.

Abdullah bin Muhammad
Anak lelaki Baginda dengan Siti Khadijah. Meninggal dunia ketika masih kecil.


Al-Qasim bin Muhammad
Anak lelaki Baginda dengan Siti Khadijah. Meninggal dunia ketika masih kecil. 

Ibrahim bin Muhammad (meninggal dunia pada 10H)
Anak lelaki Nabi daripada hamba perempuan Baginda Mariah al-Qibtiah. Beliau hanya hidup selama 18 bulan. Rasulullah saw menyaksikan beliau menghembuskan nafas yang terakhir sambil menitis air mata lalu berkata: Mata boleh menitiskan airnya, hati boleh bersedih, tetapi kita tidak boleh mengucapkan kalimah yang tidak diredai oleh Allah.

Fatimah Az-Zahra’ (meninggal dunia pada 11H)
Beliau adalah anak perempuan Rasulullah saw daripada isteri Baginda Siti Khadijah. Beliau adalah anak perempuan Rasulullah yang bongsu dan anak yang sangat menyayangi Rasulullah. Beliau sangat pintar, fasih berkata-kata dan matang. Beliau berkahwin dengan Ali bin Abi Talib. Hasil daripada perkahwinan itu beliau dikurniakan Hasan, Husain dan Ummi Kalthum. Beliau meninggal dunia 6 bulan setelah kewafatan Rasulullah saw.

Rukiah binti Muhammad (meninggal pada 2H)
Anak perempuan Rasulullah saw daripada isteri Baginda Siti Khadijah. Pada zaman jahiliah, berkahwin dengan Utbah bin Abi Lahab. Setelah kebangkitan Islam dan turunnya ayat al-Quran surah al-Masad, ayat: 1, Nabi memerintahkan suaminya supaya menceraikan Rukiah.Beliau memeluk Islam bersama ibunya. Berkahwin dengan Othman bin Affan kemudian mereka berhijrah ke Habsyah. Kembali semula ke Madinah dan beliau meninggal dunia di sana.

Ummi Kalthum binti Muhammad (meninggal dunia pada 9H)
Anak perempuan Rasulullah saw daripada isteri Baginda Siti Khadijah. Berkahwin dengan Utaibah bin Abi Lahab pada zaman jahiliah. Nabi memerintahkan Utaibah supaya menceraikan Ummi Kalthum selepas turunnya ayat al-Quran surah al-Masad, ayat: 1, lalu Utaibah melaksanakan perintah tersebut. Setelah itu beliau berhijrah ke Madinah, kemudian berkahwin dengan Uthman bin Affan selepas kakaknya Rukiah isteri pertama Othman meninggal dunia.

Zainab binti Muhammad (meninggal dunia pada 8H)
Anak perempuan pertama Rasulullah. Beliau dikahwini oleh Abu al-Aas bin ar-Rabie’. Beliau memeluk Islam dan berhijrah bersama Nabi meninggalkan suaminya yang tetap dalam agamanya dan tidak ingin memeluk Islam. Kemudian suaminya ditawan dalam peperangan Badar. Rasulullah meminta suaminya menceraikan Zainab lantas dia melaksanakan permintaan tersebut. Setelah Abu al-Aas memeluk Islam, Nabi saw mengembalikan Zainab kepadanya.

Subhanallah. Ketiga-tiga orang anak lelaki atau putera Rasulullah meninggal ketika masih kecil. Hanya 4 orang puteri Rasulullah yang berjaya mengharungi hidup yang penuh pancaroba ini. Baginda Rasulullah saw sangat menitik beratkan soal Islam dan ini dapat dibuktikan apabila Rasulullah meminta suami Rukiah, Ummi Kalthum dan Zainab menceraikan mereka kerana tidak mahu memeluk agama Islam. Baginda amat tegas menjalankan kewajiban sebagai utusan Allah dan tiada yang terkecuali termasuk anak- anak Baginda sendiri. Semoga Islam terus menerangi dunia dengan nur kebenaran yang datangnya daripada Allah swt. Amin..

No comments:

Post a Comment